fbpx

Limpahan rezeki rumah terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Jemputan majlis rumah terbuka yang memenuhi jadual sebaik pulang dari kampung pada awal bulan Syawal memberi peluang untuk semua masyarakat termasuk mereka yang bukan beragama Islam menyantuni satu sama lain bagi mengeratkan hubungan yang renggang sepanjang dua tahun ‘berkurung’ dalam fasa pandemik.

Pelbagai pihak berkongsi rezeki daripada majlis yang dibuat secara besar besaran dan juga secara kecil-kecilan meskipun terpaksa berdepan dengan kos bahan mentah termasuk kos membeli pinggan mangkuk , sudu garpu pakai buang, barangan plastik dan juga tisu yang turut meningkat.

Jika terlalu berkira dengan harga bahan basah yang kini semakin memberi tekanan kepada masyarakat di pasar, jangan sibuk untuk berkira-kira membuat jamuan rumah terbuka, lebih baik anda rehat di rumah sementara menunggu jemputan.

Berkesempatan berbual dengan beberapa pemilik butik dalam satu majlis rumah terbuka baru-baru ini, usahawan yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 20 tahun lalu itu mengucap syukur kerana limpahan rezeki yang diperolehnya pada bulan Ramadan lalu.

Menurut wanita ini, jualan yang dicatat dalam masa sebulan itu telah berjaya menampung segala kerugian yang dialaminya sepanjang tempoh pandemik lalu.

Malah dia bersyukur pemilik butik itu juga tidak memberi tekanan untuk mengutip sewa bulanan hanya terpulang pada dirinya untuk membayar komitmen meskipun hanya serendah RM50 sebulan berbanding sewa bulanan sebelum ini adalah sebanyak RM5,000 sebulan.

“Apa lagi nikmat Allah yang kita harus dustakan,” katanya sambil menyeka air mata yang tiba-tiba mengalir membuatkan saya dan rakan yang lain turut mengucap syukur atas kegembiraan yang dikecapinya kini selepas hampir dua tahun lalu, nyaris murung mengenangkan jualan yang tidak menjadi.

Dia memaklumkan stok pakaian wanita yang mana fesyennya sentiasa segar di mata pelanggan terjual hampir 80 peratus sepanjang bulan Ramadan lalu dan dia bercadang untuk menambah stok baharu pada bulan depan.

Faktor pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan kerajaan adalah antara faktor rakyat berbelanja besar dan teruja membeli-belah bersempena sambutan Syawal.

Meskipun ia hanya serendah RM10,000 tapi kesannya kepada kumpulan peniaga kecil atau mereka yang terlibat dalam bidang peruncitan amat ketara sekali.

Ini adalah masa untuk kembali bangkit seiring dengan peralihan negara ke fasa endemik, kuasa beli rakyat yang semakin bertambah selain disokong oleh pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 bakal menceriakan proses pemulihan ekonomi negara.

Jangan leka, terus rebut peluang keemasan itu dan jangan mengeluh terhadap kos kenaikan harga bahan mentah kerana dalam rezeki kita pastinya terdapat rezeki orang lain yang boleh dikongsi bersama dalam kitaran ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI