TAIPING – Seorang warga emas mengalami kerugian berjumlah RM565,700 setelah diperdaya oleh seorang ‘doktor’ yang dikenalinya melalui platform media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, wanita berusia 68 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor kilang dipercayai mangsa jerat percintaan melalui online sejak tahun lalu hingga Mei ini.
“Mangsa dipercayai telah berkenalan dengan seorang pengguna laman Facebook yang mengunakan nama sebagai Ding Nai Wei kononnya seorang doktor dan sedang bekerja di Iraq.
“Setelah berkenalan, suspek telah merayu mangsa untuk memasukkan sejumlah wang kepada pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu United agar dia dapat keluar dari Iraq dan berjanji akan memberi wang RM5 juta kepada mangsa sekiranya dia tiba di negara ini nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rayuan suspek telah menjerat mangsa hingga dia melakukan sebanyak 69 kali transaksi ke dalam 13 buah akaun bank.
“Sepanjang perkenalan itu, mangsa telah membuat 12 belas kali transaksi melalui Maybank dan sekali melalui CIMB Bank.
“11 kali transaksi ke dalam akaun penama Brayen Robson Anak Sito dan sekali atas akaun penama Ho Yee Mun serta satu kali transaksi mengunakan CIMB Bank penama Clayton Roland,” katanya.
Ujar Osman lagi, semua transaksi wang dilakukan mangsa melalui mesin ATM di Maybank cawangan Taiping bermula 4 Oktober 2021 hingga 21 Mei tahun ini. -KOSMO! ONLINE