PUTRAJAYA – Mesyuarat Lembaga Eksekutif Ke-151 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah bersetuju melantik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai Naib Pengerusinya.
Berita gembira itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dimuat naik dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.
“Alhamdulillah dan tahniah kepada YB Menteri Kesihatan atas pelantikan itu dan Malaysia kini berkhidmat sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO dari tahun 2021 sehingga 2024,” nukilnya.
Ujar beliau, mesyuarat itu sebulat suara bersetuju dengan pelantikan tersebut bagi mewakili Rantau Pasifik Barat selain empat wakil dari China, Micronesia, Jepun, dan Korea Selatan.
Lembaga itu terdiri 34 ahli bermesyuarat setiap Januari untuk agenda Perhimpunan Kesihatan Sedunia dan mempertimbangkan segala resolusi di ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland.
Pelantikan tersebut jelasnya, tidak pernah terjadi lagi sebelum ini dan satu penghormatan besar buat Malaysia dan bukti negara ini sentiasa terdepan dalam bidang kesihatan awam global.
“Selain kepimpinan kita yang kuat, Malaysia akan menyumbang ke arah kejayaan usaha WHO menerajui komuniti antarabangsa meliputi pelbagai cabaran sejagat,” tambah Noor Hisham.
Usaha itu ujarnya, termasuk tindak balas wabak Covid-19, inovasi kesihatan digital, penuaan aktif, isu kesihatan mental, permasalahan penyakit tidak berjangkit dan perubahan iklim. – KOSMO! ONLINE