LONDON – Sebuah kapal layar berukuran panjang 25 meter dan bernilai AS$7.5 juta (RM33 juta) di pelabuhan Torquay, Devon, England dilaporkan karam bersama sembilan tan minyak diesel selepas mengalami kebakaran.
Menurut portal MailOnline, pasukan bomba dikejarkan ke lokasi tempat bot mewah itu berlabuh selepas menerima panggilan kecemasan.
Api dan asap akibat kebakaran menyebabkan beberapa orang terperangkap di hujung jeti dengan polis mengesahkan, kapal itu hanyut dari tempat ia berlabuh sejak sebulan lalu.
Agensi Alam Sekitar memberi tumpuan untuk menangani pencemaran dengan kebimbangan kesan tumpahan minyak selepas kira-kira sembilan tan diesel dipercayai tenggelam ke dalam Lautan Atlantik.
“Pegawai-pegawai kami telah memeriksa kualiti udara di sekitar pelabuhan Torquay petang ini (kelmarin) berikutan kebakaran kapal layar ini diisytiharkan sebagai insiden besar.
“Dengan kapal layar tersebut tenggelam bersama sembilan tan diesel di dalamnya, fokus sekarang adalah pada kawalan pencemaran,” kata agensi berkenaan dalam kenyataan di laman Twitter.
Tumpahan minyak boleh memudaratkan ekologi lautan, pantai, sungai, dasar laut dan habitat hidupan laut.
Polis mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu yang memaksa pelabuhan dan kawasan dermaga ditutup sementara sehingga kerja-kerja pembersihan selesai. – Agensi