fbpx

Gadis Kampus: Kerana minat, Nur Diana Woon impi buka kelas muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR DIANA WOON mengikuti kelas bermain piano sejak berusia 11 tahun.

SAAT pertama kali berbual dengan gadis berusia 22 tahun itu di kampus Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, jelas sekali terdapat slang Cina dalam setiap pertuturannya.

Persoalan tersebut terus diajukan sebelum Nur Diana Woon Muhd. Noor Woon memaklumkan, keluarganya memang berketurunan Cina sebelum memeluk Islam ketika dia berusia dua tahun.

Justeru tidak hairanlah, raut wajah, tona kulit dan slang percakapannya masih nampak seperti gadis Cina, meskipun mengenakan tudung bak gadis Melayu terakhir.

Menurut gadis berasal dari Johor Bahru itu, dia masih menggunakan Mandarin dan Kantonis sebagai bahasa utama di rumah serta banyak bergaul dengan rakan-rakan dari kaum Cina.

“Saya boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Tetapi apabila di rumah, kami sekeluarga masih menggunakan bahasa Mandarin dalam pertuturan.

“Ini kerana, keluarga saya memang asalnya berbangsa Cina sebelum memeluk Islam 20 tahun lalu,” katanya.

Penuntut tahun kedua, Ijazah Sarjana Muda Muzik di UM itu berkata, kehidupannya di kampus cukup lancar memandangkan dia selesa berkawan dengan sesiapa saja.

Katanya, pembelajaran dalam bilik kuliah juga berjalan seperti diharapkan disebabkan dia cukup meminati bidang muzik sejak kecil.

Cerita Nur Diana Woon, dia telah dihantar oleh keluarganya bagi mengikuti kelas bermain piano dan beberapa alatan muzik lain sejak berusia 11 tahun.

“Minat saya terhadap muzik bermula sejak kanak-kanak. Saya bermula dengan bermain piano sebelum beralih kepada alat muzik lain seperti drum, gitar dan ukulele.

“Disebabkan minat juga, telah mendorong saya melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di UM. Ia umpama impian menjadi satu kenyataan,” terangnya.

MEMBUKA kelas muzik kepada kanak-kanak dan remaja adalah impian Nur Diana Woon selepas tamat belajar nanti.

Ketika ini, Nur Diana Woon sedang sibuk berlatih bermain drum sebagai persiapan bagi persembahan orkestra di UM pada awal bulan depan.

Selain itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu cukup meminat bidang fotografi terutamanya menggunakan kamera analog serta filem.

“Saya mula minat dengan kamera analog ini sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kebetulan, keluarga saya ada sebuah kamera analog.

“Daripada terbiar begitu saja, lebih baik saya guna bagi merakam setiap memori indah bersama keluarga dan rakan-rakan di dalam kampus,” ujarnya lagi.

Nur Diana Woon memaklumkan, dia juga aktif merakam dan menyunting video sebelum memuatkan naik ke laman YouTube miliknya, Diana Woon.

Jelasnya, dia banyak membuat video mengenai perjalanan kehidupan seharian sebagai seorang pelajar UM, remaja serta anak.

“Saya buat video ini suka-suka sahaja bagi mengisi masa lapang di kampus. Saya tidak sangka pula video saya meraih perhatian daripada pengikut.

“Ada satu video ini saya buat bagi menceritakan mengenai fakulti dan jurusan muzik di UM dan berjaya meraih 18,000 tontonan. Rupanya ramai yang ingin tahu mengenai kehidupan kami di sini,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nur Diana Woon memaklumkan, dia tidak berhasrat untuk menyambung pengajian, sebaliknya ingin membuka perniagaan sendiri.

Katanya, dia bercadang membuka sebuah kelas yang mengajar muzik kepada kanak-kanak dan remaja, sekali gus meneruskan legasi keluarganya.

“Bapa saya ada bisnes sendiri. Dia buka kedai basikal di Johor Bahru. Jadi, saya pun mungkin akan menceburkan diri dalam bidang bisnes selepas tamat belajar nanti,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI