fbpx

Festival ‘Think Thailand’ terbesar di Tropicana Gardens

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Festival 'Think Thailand' diadakan di pusat beli-belah Tropicana Gardens, yang berlangsung selama 12 hari bermula Khamis lepas hingga 6 Jun nanti.

PETALING JAYA – Kedutaan Diraja Thailand, dengan kerjasama Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand (DITP), dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menganjurkan Festival ‘Think Thailand’.

Festival tersebut diadakan di pusat beli-belah Tropicana Gardens, yang berlangsung selama 12 hari bermula Khamis lepas hingga 6 Jun nanti.

Menteri Kaunselor dan Pengarah DITP, Worawan Wanwil berkata, festival tersebut diadakan bertujuan untuk menyokong kedua-dua pengeksport Thailand dan pengimport Malaysia dalam meningkatkan jualan produk Thailand di Malaysia, di samping menunjukkan kesediaan untuk mengalu-alukan kembali rakyat Malaysia ke Thailand.

“Lebih 30 pengeksport Thailand telah meluangkan masa untuk berada di negara ini bagi menjayakan festival ini. Mereka diterbangkan khas untuk mempamerkan produk masing-masing.

“Padanan perniagaan dalam dan luar talian telah diatur dengan lebih daripada 50 pengeksport Thai yang berkelayakan. Kami kini telah mengesahkan padanan den sebanyak 63 jangkaan nilai dagangan bernilai RM30 juta dalam tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pihaknya juga telah bekerjasama dengan Shopee bagi memudahkan urusan pembeli.

“Kami telah bekerjasama dengan Shopee untuk menyenaraikan lebih daripada 300 penjual dalam platform e-dagang mereka supaya pembeli Malaysia boleh membeli terus dari Thailand dan pesanan mereka dihantar hingga depan pintu mereka,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, pihaknya juga menyediakan acara khas, Pameran Halal Antarabangsa Thailand (TIHAS) pada festival kali ini ekoran peningkatan permintaan dalam produk Halal Thailand yang berkualiti daripada pengguna Malaysia.

“Dengan persediaan dan pelbagai aktiviti ini, kami yakin dapat menjana jualan lebih RM6 juta sepanjang festival,” katanya.

Sepanjang festival ini, bagi setiap pembelian RM50 produk Thai di cawangan yang ditetapkan, pengguna layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah menarik, termasuk dua tiket penerbangan AirAsia pergi balik, dua penginapan Hotel di Thailand, satu telefon pintar jenama Oppo, 20 baucar Thai SELECT, 20 baucar Thai Odyssey, lima bagasi untuk perjalanan, 10 hamper bernilai RM300 setiap satu serta 30 hamper bernilai RM100 setiap satu. – KOSMO ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI