PUTRAJAYA – Seramai enam individu telah dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun.
SPRM berkata, daripada enam individu yang dilantik itu, lima daripada mereka telah dilantik sebagai ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) yang merupakan lantikan semula.
“Salah seorang daripada mereka pula dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu bagi menggantikan seorang ahli panel bebas tersebut yang meletak jawatan pada Disember tahun lalu.
“Surat cara pelantikan PPO dan PPPR itu telah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kesemua individu yang dilantik terdiri daripada golongan profesional serta pakar dari pelbagai bidang untuk mewakili masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.
“Ahli-ahli PPO lantikan semula terdiri daripada Mantan Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Ahmad Rosli Mohd. Sham sebagai Pengerusi; mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat dan mantan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Abdul Manap Dim.
“Ia diikuti oleh Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Azimah Abd. Hamid dan Mantan Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara, Dr. Mazlan Ahmad,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pula dilantik sebagai ahli PPPR terbaharu.
“Tempoh pelantikan ahli PPO dan PPPR ini berkuat kuasa mulai 1 April 2022 hingga 31 Mac 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE