fbpx

China adakan mesyuarat tergempar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri China, Li Keqiang gesa pekerjaan sedia ada dikekalkan untuk mengurangkan pengangguran. - Caixin News

BEIJING – Kabinet China mengadakan mesyuarat tergempar disertai lebih 100,000 pegawai, demikian menurut media peme­rintah selepas Beijing  menggesa pelaksanaan langkah-langkah untuk menstabilkan ekonomi yang terjejas akibat sekatan ketat Covid-19, lapor saluran berita CNN kelmarin. 

Berlangsung Rabu lepas, mesyuarat secara sidang video oleh Majlis Negara itu dihadiri seluruh pegawai di peringkat, wilayah, bandar raya dan majlis perbandaran, demikian menurut akhbar pemerintah, Global Times.

Barisan pegawai tertinggi China turut hadir termasuk Perdana Menteri,  Li Keqiang yang menggesa pihak berkuasa bertindak segera untuk mengekalkan pekerjaan sedia ada dan mengurangkan pengangguran.

China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, terjejas dalam pelbagai sektor sejak gelombang Covid-19 menyerang pada Mac lalu yang mencetuskan sekatan ketat seperti perintah berkurung di bandar-bandar utama khususnya  hab kewangan, Shanghai. Ramai warga kota raya tidak dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing selama satu setengah bulan.

Keqiang berkata, impak susulan perintah berkurung pada Mac dan April itu, sesetengah aspek  adalah lebih buruk berbanding kesan penularan awal Covid-19 di China pada 2020.

Beliau merujuk kepada beberapa penanda aras kegawatan ekonomi termasuk kadar pe­ngangguran, pengurangan pengeluaran industri dan pengangkutan kargo yang tergendala.

Bank-bank pelaburan pula menurunkan unjuran  ekonomi China tahun ini. Pada awal ming­gu lalu, USB mengurangkan ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 3 peratus disebabkan risiko ekonomi akibat polisi sifar Covid China.

Beijing menjangkakan pertumbuhan ekonomi sekitar 5.5 peratus pada 2022. Pada tahun lalu, ekonomi kedua terbesar dunia itu melaporkan pertumbuhan 8.1 peratus dan 2.3 peratus dalam 2020 sekali gus paling rendah dalam tempoh beberapa dekad.

Sidang video itu diadakan selepas Majlis Negara bermesyua­rat Isnin lalu. Hasil mesyuarat tersebut, pemerintah  memper­kenalkan 33 langkah ekonomi baharu termasuk meningkatkan pulangan cukai, meluaskan pinjaman kepada perniagaan kecil dan menyalurkan pinjaman kecemasan bagi memulihkan industri penerbangan yang terjejas teruk, demikian menurut agensi berita rasmi Xinhua.

Sebilangan dasar dalam 33 langkah pembaharuan  itu turut melonggarkan sekatan Covid-19 seperti membatalkan sekatan lori kargo daripada melakukan perjalanan ke kawasan-kawasan berisiko rendah. Susulan mesyuarat tergempar pada Rabu lalu itu juga, Keqiang mengarahkan jabatan-jabatan pemerintah supaya me­laksanakan 33 langkah baharu itu menjelang akhir Mei ini.

Sepanjang pandemik melanda China, Beijing melaksanakan dasar sifar Covid ketat bertujuan untuk menghapuskan semua rantaian jangkitan sama ada melalui penutupan sempadan, kuarantin mandatori, ujian saringan besar-besaran dan perintah berkurung mengejut.

Bagaimanapun, strategi itu dicabar varian Omicron yang sangat mudah berjangkit dan menular ke seluruh negara awal bulan ini walaupun pihak berkuasa segera menutup daerah dan sempadan antara wilayah.

Menjelang pertengahan bulan ini, lebih 30 buah bandar berada  di bawah perintah berkurung sepenuhnya atau separa dalam langkah yang memberi kesan terhadap lebih 220 juta orang di seluruh China, demikian menurut angka CNN. Dari sudut industri pula, langkah tersebut telah memusnahkan rantaian bekalan dan permintaan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI