AGENSI SM Entertainment dan Mystic Story tampil menjelaskan keadaan sebenar berhubung dakwaan perkahwinan pasangan popular, penyanyi Kangta dan kekasihnya, pelakon Jung Yu-mi.
Laporan Sports Kyunghyang pada Jumaat lalu mendakwa, pasangan itu akan melangsungkan perkahwinan pada musim luruh seperti yang tersebar menerusi sebuah video dalam YouTube.
Dalam video tersebut, Kangta dan Yu-mi masing-masing sudah memaklumkan keluarga serta saudara-mara tentang perancangan perkahwinan.
Tetapi selepas melalui perbincangan dengan artis mereka, kedua-dua agensi pengurusan hanya mengesahkan, status percintaan Kangta dan Yumi berjalan lancar.
Namun buat masa ini tiada sebarang perancangan tentang perkahwinan dibuat oleh kedua-dua mereka.
Kangta yang merupakan anggota kumpulan H.O.T mengesahkan sedang menjalin cinta dengan Yu-mi pada Februari 2020 selepas timbulnya khabar angin tentang hubungan mereka.
Khabar angin tentang hubungan mereka mula tercetus selepas pasangan itu muncul dalam sebuah program radio yang sama dan pernah dilihat meluangkan masa bersama-sama.