KLANG – Kelicikan sekumpulan 12 penjenayah memecah masuk sebuah kilang sebanyak dua kali bagi mencuri 180 mesin bitcoin tumpas apabila dicekup di sekitar bandar ini, baru-baru ini.
Kesemua suspek termasuk warga Indonesia berusia 20 hingga 40 tahun itu ditangkap dalam sembilan siri serbuan dalam tempoh dua hari bermula Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kilang yang menjalankan aktiviti utama iaitu pembuatan aluminium tersebut dipecah masuk pada 27 April dan 20 Mei lalu.
Bagaimanapun katanya, tiada laporan polis dilakukan pihak kilang tersebut pada kejadian pertama sebaliknya hanya dilakukan pada 23 Mei lalu selepas insiden pecah masuk berlaku pada 20 Mei.
“Hasil siasatan mendapati laporan lewat itu susulan pihak pengurusan melakukan siasatannya sendiri.
“Operasi mesin bitcoin itu pula didapati tiada kesalahan kerana tidak mencuri bekalan elektrik,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Difahamkan, sistem pendawaian bagi mesin bitcoin itu telah mendapat kelulusan spesifikasi daripada pihak utiliti selain membuat pembayaran secara sah bagi bekalan elektrik untuk urusan perlombongan mata wang kripto bitcoin itu.
Menurut Vijaya, bertindak atas maklumat pihak polis kemudiannya berjaya menangkap 12 suspek sekitar Bandar Klang, Bayu Perdana, Telok Pulai, Pandamaran, Bukit Tinggi dan Taman Sentosa.
Tambahnya, turut dirampas adalah 188 mesin bitcoin selain dua buah kenderaan masing-masing jenis Proton Wira dan Nissan Sentra, power supply serta telefon bimbit.
“Modus operandi suspek adalah memecah masuk kilang secara berkumpulan pada awal pagi sebelum mengikat pengawal keselamatan dan memberikan ugutan jenayah kepada mereka.
“Satu bitcoin itu bernilai RM10,000 sebelum dijual pasaran gelap pada harga RM1,000. Menerusi penangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan tiga kes pecah masuk kilang dilakukan suspek termasuk satu di luar daerah ini,” ujarnya.
Sementara itu, jelasnya, pihak polis kini memburu tiga lagi suspek dikenali Herman Petrus, 41; Tan Jian Farn, 37 dan Abdul Rahim Mohamad Ali, 33, bagi membantu siasatan. -KOSMO!ONLINE