PASIR GUDANG – Sektor pelancongan di negeri ini sedang menunjukkan trend pemulihan apabila majoriti industri perhotelan merekodkan sehingga 70 peratus tempahan bilik pada hujung minggu.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, situasi berkenaan dapat dilihat sejak kerajaan membuat keputusan untuk membuka semula sempat antarabangsa pada 1 April lalu.
Menurut beliau, peningkatan dalam sektor pelancongan itu turut disumbang oleh aspek pelancongan sukan dan juga pelancongan kesihatan.
“Sejak sempadan antarabangsa dibuka, kita dapat menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong khususnya ke negeri ini, sama ada untuk melancong atau bersukan atau untuk kesihatan.
“Sebagai contoh bagi sukan golf, Johor telah berjaya menarik kehadiran pelancong antarabangsa seperti Singapura, Indonesia dan juga Korea untuk hadir dan bermain golf di negeri ini.
“Tourism Johor komited membantu menjalankan promosi bagi tujuan pelancongan dengan mengambil kira Johor bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024,” katanya yang percaya trend itu akan berterusan sehingga ke akhir tahun. – KOSMO! ONLINE.