KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya objektif Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan iaitu menjelang tahun 2025.
Baginda bertitah, pendekatan kempen yang kreatif dan unik itu dapat menarik minat rakyat untuk terlibat dalam program tersebut.
“Sebenarnya jika setiap di antara 32.4 juta rakyat Malaysia mengambil inisiatif sendiri untuk menanam empat pohon pokok, kira-kira 130 juta pohon pokok baharu akan berjaya ditanam dalam masa 10 minit sahaja.
“Beta berharap seluruh masyarakat dapat mengambil peluang ini bagi melibatkan diri dalam aktiviti penanaman pokok anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Jabatan Perhutanan yang secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat sejagat selaras tema Hari Hutan Antarabangsa iaitu Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Program Kembara Hijau Bersama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis sempena Kempen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2022 di Kompleks Basikal Lasak Sungai Batu Pahat hari ini.
Baginda berangkat tiba bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man. – KOSMO! ONLINE.