BENTONG – Pihak polis gagal mendapatkan perintah bagi menyambung tahanan reman ke atas seorang bekas diplomat bergelar Datuk yang ditahan kerana disyaki menanam ganja di Janda Baik baru-baru ini.
Difahamkan, Majistret Shahrul Ekhsan Hasim tidak membenarkan permohonan reman kedua yang dibuat pihak polis.
Susulan itu warga emas berusia 78 tahun itu dibebaskan meskipun terdapat permohonan daripada pihak polis bagi mendapatkan tambahan reman bagi siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis telah membuat permohonan bagi menyambung reman atas keperluan siasatan lanjut namun tidak mendapat kebenaran mahkamah.
“Saya sahkan pihak polis telah membuat permohonan melanjutkan tahanan reman terhadap lelaki berkenaan tetapi ia tidak dilanjutkan.
“Suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sebelum ini dibebaskan semalam dengan jaminan polis,”katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan polis berjaya menumpaskan aktiviti penanaman ganja ‘ala ladang’ di pusat peranginan Janda Baik selepas menahan seorang lelaki bergelar Datuk yang juga bekas diplomat bersama anaknya.
Susulan itu pada Sabtu lalu polis menahan seorang lelaki berumur 78 tahun di sebuah rumah di Kampung Sum Sum Hilir di Janda Baik dan menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 53 tahun yang merupakan anak suspek pertama di Shah Alam pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE.