SHAH ALAM – Kebankrapan belia menjadi fokus utama bagi Kelab-Kelab Belia Kebangsaan (MAYC) dalam memberikan kesedaran mengenai perancangan kewangan kepada golongan tersebut.
Menurut Presiden MAYC, Mohd.Al-Hafizi Abu Bakar, ini ekoran kelemahan pengurusan kewangan menjadi punca belia diisytihar bankrap seawal umur 32 hingga 35.
“Golongan belia perlu lebih cakna dalam ilmu pengurusan kewangan bagi memastikan pendapatan yang diterima diurus dengan bijak.
“Sehubungan dengan itu program literasi kewangan akan diperkasa dalam kalangan golongan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MAYC di Bangunan Muara di sini malam tadi.
Beliau bagaimanapun, tidak memperincikan secara lanjut jumlah bilangan belia yang telah diisytihar muflis di negara ini.
Jelas Mohd.Al-Hafizi, MAYC berpandangan pihak berkuasa dapat memantapkan dasar pendidikan kewangan dalam kalangan anak-anak muda sejak dari awal. – KOSMO! ONLINE.