JELI – Kerajaan sedang merancang untuk mengubah dasar negara terutamanya aspek ekonomi dan kesihatan bagi memastikan Malaysia bersedia untuk menghadapi status negara tua menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya bersama Unit Perancangan Ekonomi Negara telah mengadakan perbincangan dengan dua kementerian utama untuk menyelaraskan perkara itu.
Mustapa berkata, kementerian itu termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Negara akan berubah status tua apabila kelahiran semakin kurang. Mengikut peratusan, Malaysia merupakan antara negara paling kecil dalam proses kelahiran iaitu 6.8 peratus sekali gus sama seperti Singapura dan Indonesia.
“Aspek pendidikan, kerjaya dan situasi tempat tinggal di kawasan bandar dengan kos kehidupan yang tinggi merupakan faktor utama kurangnya kadar kelahiran sesebuah negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penerbitan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Data Pentadbiran Banci 2020 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.