Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Kejadian kebakaran sebuah kilang pembuatan tilam di Kilometer 6, Jalan Jelebu di sini kelmarin menggemparkan penduduk sekitar bandar ini.
Apa tidaknya, kepulan asap hitam tebal boleh dilihat menjulang ke langit menimbulkan tanda tanya orang ramai dalam kejadian lewat petang tersebut.
Penduduk di Kampung Batu 4, Jalan Jelebu dekat sini yang rumah mereka terletak berhampiran dengan kilang tersebut memberitahu, kejadian kebakaran tersebut begitu menakutkan mereka ekoran banyak bunyi letupan yang kedengaran.
Penduduk, Rusilawati Mohd. Deli, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di Mantin dan dimaklumkan oleh suaminya berkenaan ada kebakaran kilang yang terletak di sebelah rumah mereka.
“Apabila sampai di rumah saya dapati asap tinggi dan bau yang sangat kuat. Terdapat juga kedengaran letupan, bimbang berlaku perkara lebih buruk saya dan suami minta anak dan ahli keluarga lain keluar dan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini malam kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Maslina Ahmad, 43, berkata, sewaktu kejadian dia sedang membuang sampah dan kelihatan asap hitam di atas rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang. – KOSMO! ONLINE.