KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan membuat tawaran lelongan sebanyak 22 buah kenderaan yang telah dilucutkan hak pada harga serendah RM150 bermula esok sehingga 8 Jun depan.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, tawaran sebut harga sehingga RM13,450 bagi kesemua kenderaan itu dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, empat buah motosikal dan pelbagai jenis kenderaan seperti Toyota Wish, Honda Civic, Proton Wira, Proton Saga, Perodua Kancil, Hyundai Matrix, Isuzu dan Subaru Legacy Lancaster ditawarkan untuk pembeli.
“Individu atau syarikat yang berminat boleh datang untuk melihat kenderaan tersebut bermula hari ini hingga 1 Jun di stor sita JPJ Kelantan selain Stesen Penguat Kuasa di Bukit Jawa, Pasir Puteh dan Laloh, Kuala Krai.
“Semua kenderaan yang dijual adalah dalam keadaan seadanya. Mereka yang berminat untuk membelinya perlu melihat terlebih dahulu kenderaan itu sebelum menyebut harga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Misuari, nilai deposit sebut harga adalah lima peratus daripada harga tawaran dalam bentuk bank draf dan kiriman wang atas nama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia. – KOSMO! ONLINE.