PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan untuk tidak membida hak penganjuran menjadi tuan rumah kejohanan berpestij, Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Jun tahun depan.
Perkara ini disahkan Setiausaha FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar selepas mengenal pasti kekangan masa selain tiada venue serta stadium yang menepati piawaian untuk ditawar menganjur perlawanan itu nanti.
“Saya rasa kita tidak akan membida hak tuan rumah sebab persediaan untuk ke Piala Asia ini besar. Bagi aspek logistik seperti penginapan, keselamatan mungkin tiada masalah, tetapi padang latihan serta stadium perlu memenuhi kriteria.
“Difahamkan, saya rasa minimum perlu ada empat stadium, padang latihan yang berkualiti juga kena ada yang berhampiran dengan stadium,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Akhbar Kosmo! semalam melaporkan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan ‘lampu hijau’ buat mana-mana negara membida hak tuan rumah selepas China menarik diri awal bulan ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui kemungkinan untuk berbincang dengan negara serantau bagi membida hak penganjuran bersama juga mungkin sukar untuk dilakukan atas faktor masa yang singkat.
“Dahulu kita pernah jadi tuan rumah pada edisi 2007 bergabung bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam. Cuma, saya rasa agak susah untuk dilakukan sekali lagi dengan perlawanan bakal diadakan pada Jun tahun depan, persedian sudah semakin suntuk.
“Namun, ini bukan keputusan saya, jika Exco FAM berhasrat untuk membida terpulanglah, kerana mungkin ia akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang,” katanya.