PETALING JAYA – Pelakon cantik Intan Najuwa mengingatkan dirinya dan juga semua agar tidak sesekali mengabaikan soal kesihatan akibat terlalu sibuk dengan urusan kerja.
Intan ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia mengakui dirinya salah seorang individu yang terlalu mementingkan soal kerja hingga menyebabkan dia diserang penyakit gastrik dan terpaksa dikejarkan ke hospital semalam.
Kata Intan, dia tidak menolak faktor tekanan yang disebabkan kerja, pelajaran selain pengambilan kafien secara berlebihan menjadi penyumbang dia mendapat penyakit tersebut.
“Sekali lagi saya diuji dengan gastrik teruk sejak beberapa hari lalu sampai terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Bukan sahaja gastrik, tetapi jantung dan denyutan nadi saya turut menjadi laju dan seakan berdebar-debar.
“Doktor kata saya terlalu stres (tertekan) disebabkan kerja dan tidak cukup rehat selain pengambilan kafien berlebihan,” katanya.
Tambah pelakon drama Saat Kau Takluk Cinta Ini itu, dia bersyukur kerana tidak ditahan di dalam wad dan dibenarkan pulang beberapa jam selepas menerima rawatan.
“Alhamdulillah kesihatan saya semakin bertambah baik. Sekarang ini pun saya dah masuk set untuk berlakon semula.
“Cuma lepas ini saya kena lebih mementingkan soal kesihatan dan jaga pemakanan serta kurangkan minuman berkafien seperti kebiasaan.
“Kerja-kerja juga, jangan nanti kalau dah sakit baru nak menyesal,” katanya.
Terdahulu, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 25, memuat naik foto dalam InstaStory memaparkan tangannya sedang dimasukkan drip air.
Sekitar 2018, Intan turut pernah dimasukkan ke wad di sebuah hospital di ibu negara untuk beberapa hari selepas mengalami tekanan darah rendah dan dehidrasi melampau. – KOSMO! ONLINE