MELAKA – Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang disambut pada setiap 29 Mei perlu dijadikan agenda nasional demi mengangkat profesion kewartawanan dalam membantu proses pembangunan negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Hawana tidak sepatutnya menjadi hari sambutan biasa, sebaliknya keraian dalam melahirkan pelbagai resolusi yang memandu ke arah memapankan dunia kewartawanan.
“Saya tidak mahu Hawana 2022 ini menjadi satu lip service atau sambutan Hari Ibu, Hari Bapa, sebaliknya ia lebih dari itu.
“Hawana ini boleh melahirkan beberapa resolusi-resolusi baharu yang dapat memandu arah bagaimana kita dapat mengangkat kewartawanan dan peranan para wartawan dalam proses pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Forum Media Nasional bertemakan Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang sempena sambutan Hawana 2022 di Hotel Hatten di sini, hari ini.
Hawana diadakan yang bertujuan bagi meraikan para petugas media berlangsung pada 29 Mei setiap tahun. – KOSMO! ONLINE.