KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memuji mentaliti barisan pemain yang dilihat mudah untuk menyesuaikan diri dengan formasi baharu yang diperkenalkan selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas Brunei kelmarin.
Pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, skuad negara tidak mempunyai masalah untuk merekodkan keputusan positif ke atas Brunei hasil jaringan Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Faisal Halim dan Guilherme De Paula.
Kata Pan-gon, formasi yang diperkenalkan pada awal perlawanan dilihat agak berkesan untuk memastikan pasukan mendominasi permainan, tetapi percaya situasi tersebut bukanlah perkara utama kerana apa yang penting pemain dapat sesuaikan diri.
“Kali ini saya cuba untuk melakukan formasi yang berbeza (3-4-3), tetapi saya berpendapat ini bukanlah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Apa yang penting bagi saya adalah pemain dapat menyesuaikan diri.
“Saya juga gembira melihat prestasi pemain yang kekal agresif, mempamerkan corak permainan dinamik, selain menguasai perlawanan. Justeru, saya tidak merungut dengan apa yang mereka sumbangkan kerana semua memberikan seratus peratus,” katanya.
Sementara itu, Pan-gon enggan mengulas mengenai prestasi De Paula yang turut meledak satu gol menerusi sepakan penalti serta mencipta bantuan jaringan selepas dimasukkan pada babak kedua.
Namun, pada aksi tersebut pemain kelahiran Brazil itu mensia-siakan banyak peluang keemasan yang sepatutnya boleh diterjemahkan kepada gol dengan beberapa rembatan yang dilakukan tersasar.
“Secara jujur, saya tidak suka bercakap mengenai prestasi individu kerana ada dalam kalangan mereka melakukan kesilapan, namun apa yang penting buat saya adalah mereka belajar untuk memperbaiki kelemahan tersebut.
“Pujian juga harus diberikan kepada semangat berpasukan dalam kalangan pemain yang cukup tinggi selain saya sifatkan komen untuk aspek individu hanya akan dibincangkan secara dalaman sahaja dan bukan untuk didedahkan kepada umum,” katanya.
Selepas ini pasukan Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Hong Kong, Rabu ini sebelum mengalihkan tumpuan pada peringkat Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan.