KOTA BHARU – Seorang buruh kampung didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas satu pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran tiga bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Azhan Mustaffa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran yang sah.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Terap Banggu di sini kira-kira pukul 1.15 petang pada 23 Februari 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.
Terdahulu, Siti Aisyah menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh selain memohon tarikh untuk serahan dokumen.
Intan Nor Nadhirah dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah memandangkan Mohd. Azhan merupakan bapa tunggal yang perlu menjaga tiga anak berusia antara tujuh hingga 10 tahun. – KOSMO! ONLINE.