UVALDE, TEXAS – Susulan kejadian tembakan di Texas, Amerika Syarikat (AS) yang mengorbankan 21 orang pada Selasa lalu, pihak polis mengaku melakukan kesilapan kerana menunggu bantuan tiba selama hampir sejam sebelum bertindak terhadap penyerang, lapor laman berita Wion News.
Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang membuat kenyataan berhubung perkara tersebut. Dalam kejadian menyayat hati itu, seorang remaja lelaki bersenjatakan raifal telah membunuh 19 kanak-kanak dan dua guru.
“Polis membuat keputusan salah untuk menunggu dan tidak segera memasuki bilik darjah berkenaan di mana penembak berusia 18 tahun melakukan serangan,” kata pegawai tersebut.
Sejak kejadian itu, anggota penguatkuasa undang-undang tertekan kerana orang ramai mempersoalkan cara pihak berkuasa menangani insiden berkenaan.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, selepas penyerang, Salvador Ramos masuk ke dalam bilik darjah dengan membawa raifal separa automatik AR-15, mangsa yang terselamat terus menghubungi nombor kecemasan.
Bagaimanapun, anggota-anggota polis yang berada di di luar bilik darjah itu terus menunggu bantuan untuk tiba, demikian menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Texas, Kolonel Steven McCraw.
“Ia adalah keputusan salah yang dibuat oleh komander polis untuk menunggu pasukan taktikal khas dan tidak memasuki bilik darjah,” kata beliau.
Bermula dari pukul 12.03 tengah hari (waktu tempatan), seseorang yang tidak dinamakan berulang kali menelefon talian kecemasan 911 untuk memberitahu polis dengan berbisik bahawa ramai kanak-kanak telah mati tetapi lapan hingga sembilan pelajar masih hidup.
Pada pukul 12.47 tengah hari pula, seorang pelajar menelefon pengendali dan memintanya untuk menghantar polis ke lokasi kejadian.
Sehingga pukul 12.50 tengah hari, polis masih belum memasuki bilik darjah tersebut, jelas McCraw.
“Saya marah mengenai kelewatan tindak balas polis,” kata Gabenor Texas, Greg Abbott kelmarin. – Agensi