PEJAM celik, rupanya sudah empat tahun berlalu sejak Real Madrid menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi final Liga Juara-Juara di Kuiv, Ukraine, namun tidak pada Mohamed Salah, memori pahit itu masih segar dalam ingatannya.
Bintang Liverpool itu pastinya tidak dapat melupakan kekasaran Sergio Ramos yang memaut tangannya sebelum dihenyak ke padang hingga menyebabkan bahu penyerang antarabangsa Mesir terkehel.
Sekali pun berlinang air mata, Salah akur keluar padang sambil ditenangkan oleh Cristiano Ronaldo dan terpaksa melupakan aksi yang ditunggu-tunggu selama ini kerana peluang beraksi pada final Liga Juara-Juara bukan semua dapat merasainya.
Bagaimanapun, kedua-dua gergasi Eropah itu bertembung semula pada edisi 2022 awal pagi esok di utara Kota Paris, di Stade de France, sekali gus menjadi detik ditunggu-tunggu oleh Salah dengan ciapan di Twitter berbunyi; “Kami masih ada hutang untuk dilangsaikan.”
Adakah pertemuan final antara The Reds dan Los Blancos ini benar-benar bersifat buku bertemu ruas?
Melihat kepada Liverpool, skuad bimbingan Jurgen Klopp yang terkenal dengan falsafah bola sepak ‘gegenpressing’ itu menikmati musim luar biasa apabila berpeluang untuk menjulang ‘quadruple’, namun hasrat itu lebur selepas Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris minggu lalu.
Real pula sebaliknya apabila dinobatkan sebagai juara La Liga musim ini, namun prestasi di pentas Eropah agak goyah apabila sering kali ketinggalan, namun bangkit dengan cemerlang dan perjalanan mereka ke final boleh dijadikan novel, cuma bab terakhir belum dinukilkan lagi.
Skuad The Reds sejak kebelakangan ini menunjukkan tanda-tanda keletihan, walaupun dibolosi awal dalam setiap empat aksi terakhir liga, Liverpool masih berjaya mengumpul 10 mata.
Berbeza sekali dengan skuad Los Blancos, bimbingan Carlo Ancelotti yang dilihat tidak kenal lelah. Adakah gergasi Sepanyol ini memang memiliki watak sedemikian atau kepercayaan tinggi untuk sampai sejauh itu?
Dalam skuad Real, seorang pemain boleh mengubah permainan dengan bakat individu dan Los Blancos sudah membuktikannya dengan cara melangkah ke pentas final menerusi Karim Benzema yang muncul pada saat genting.
Kelihatannya, Real dilatih baik selain ada kualiti. Ancelotti telah menanam keyakinan dan ketenangan dalam skuadnya. Justeru, pertahanan Liverpool perlu berhati-hati dengan kualiti Benzema, rentak lincah Vinicius Junior dan visi Rodrygo untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, jangan pandang enteng dengan kemampuan Liverpool kerana mereka mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Real, malah Klopp mahu pasukannya beraksi lebih sengit dan kompetitif kali ini.
Selain memiliki kualiti dan keazaman tinggi, The Reds juga cenderung memiliki bola lebih banyak berbanding lawan sebelum mencipta serangan daripada duduk menunggu peluang.
Cukup menarik untuk disaksikan bagaimana pasukan seperti Los Blancos yang sudah biasa bermain dengan memiliki majoriti penguasaan bola, akan menangani skuad yang menekan dengan begitu agresif untuk mendapatkan semula bola. -KOSMO! ONLINE