TOKYO – Pengasas Tentera Merah Jepun yang digeruni suatu masa dahulu, Fusako Shigenobu dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara selama 20 tahun kerana menawan sebuah kedutaan pada tahun 1974.
Shigenobu, 76, merupakan antara wanita paling ditakuti di dunia dalam tahun 1970-an hingga 1980-an apabila kumpulan radikal berhaluan kirinya melancarkan serangan bersenjata di seluruh dunia kerana menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Dia meninggalkan penjara di Tokyo dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam bersama anak perempuannya, manakala sebilangan penyokong turut hadir sambil membawa sepanduk menyatakan: “Kami sayang Fusako”.
“Saya meminta maaf atas segala kesulitan yang menimpa begitu ramai orang kerana penangkapan saya.
“Ia berlaku 50 tahun lalu tetapi kami menyebabkan kecelakaan kepada orang awam yang tidak berdosa demi perjuangan kami seperti mengambil tebusan,” kata Shigenobu kepada pemberita selepas pembebasannya.
Dia dipercayai menjadi dalang serangan mesingan dan bom tangan di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv, Israel pada tahun 1972 yang menyebabkan 26 orang terbunuh, manakala sekitar 80 mangsa yang lain cedera.
Bekas pekerja syarikat pembuat kicap yang bertukar kerjaya menjadi militan itu ditangkap di Jepun pada tahun 2000 dan dipenjara 20 tahun enam tahun kemudian kerana peranannya menawan kedutaan Perancis di Belanda.
Wanita itu hidup sebagai orang buruan di Asia Barat selama 30 tahun sebelum muncul semula di Jepun. – AFP