JOHOR BAHRU – Warna hijau madu lebah dari Sabah yang dikaitkan dengan kandungan klorofil tinggi sebenarnya ada khasiat luar biasa yang tiada pada madu tempatan lain.
Ketua kajian Madu Hijau Borneo, Prof. Dr. Fahrul Huyop berkata, madu yang lebih gelap warnanya itu mempunyai kandungan antioksida yang tinggi dan berupaya memusnahkan radikal bebas dalam tubuh badan manusia.
Katanya, kajian yang dilakukan terhadap madu hijau yang diperoleh dari bawah tanah itu mendapati, kualiti dan kesahihannya terbukti.
“Nilai komersial madu bergantung kepada warna, madu warna cerah seperti kuning keemasan yang lebih mendapat perhatian pembeli berbanding warna hitam. Tetapi dari segi khasiat, madu yang lebih gelap ada kandungan antioksida tinggi yang berupaya memusnahkan radikal bebas dalam badan manusia.
“Menariknya, warna hijau madu lebah dari Sabah ini juga dikaitkan dengan kandungan klorofilnya yang tinggi yang tiada pada madu seperti Tualang, Gelam dan madu kelulut,” katanya ketika ditemui semalam.
Pasukan penyelidik madu itu dianggotai Pensyarah Jabatan Kimia UTM, Prof. Madya Dr. Roswanira Ab. Wahab dan Pakar Sains Makanan dan Pemakanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Nurul Huda yang turut dibantu Dr. Amir Husni Shariff dan pelajar ijazah sarjana, R. Nanthini. -KOSMO! ONLINE