PETALING JAYA – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi berjumlah RM38.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 dengan lonjakan sebanyak 89 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas.
Hasil meningkat kepada RM651.9 juta, naik tujuh peratus lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, manakala untung selepas cukai melonjak 73 peratus kepada RM26.4 juta berbanding RM15.2 juta pada suku tahun yang sama tahun lepas.
Sehingga 31 Mac 2022, lembaran imbangan KPJ Healthcare kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih yang positif.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pertumbuhan keuntungan bagi suku pertama berbanding suku tahun yang sama tahun
sebelumnya dipacu oleh langkah-langkah penghematan dan proaktif yang diambil Kumpulan
untuk menampung kos operasi dan melindungi margin semasa menghadapi pandemik Covid-19.
“Keputusan suku pertama kami menunjukkan proses pemulihan seiring dengan ekonomi Malaysia yang sedang beralih kepada fasa endemik.
“Kami yakin prospek akan bertambah baik seiring negara beransur menyesuaikan diri dengan Covid-19, di samping pembukaan semula sempadan antarabangsa dan jangkaan pemulihan industri pelancongan perubatan.
“Pada suku tahun yang dilaporkan, kami telah meningkatkan hasil terutamanya berbekalkan prestasi operasi lebih baik daripada kunjungan lebih ramai pesakit,” ujarnya.
Tambah beliau, Kumpulan akan terus memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan yang berdaya tahan dengan mengambil peluang untuk perniagaan sampingan melalui bidang-bidang
penting seperti lanjutan, perubatan jitu, genomik dan penjagaan ambulatori.
“Untuk mempertingkatkan keuntungan, kami sedang melaksanakan strategi transformatif untuk
memendekkan tempoh pembangunan hospital baharu dan melupuskan barisan perniagaan
yang tidak menguntungkan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE