PARIS – Ketika ramai yang menganggap final Liga Juara-Juara di Stade de France awal pagi esok menjadi pentas Liverpool untuk membalas dendam kepada Real Madrid, pengendali The Reds, Jurgen Klopp pula enggan terlalu fokus kepada misi berkenaan.
Pada aksi final edisi 2018 di Kyiv, Liverpool dihimpit kecewa apabila kalah 1-3 kepada gergasi Sepanyol itu, malah pada aksi berkenaan juga turut terpalit dengan kontroversi kecederaan Mohamed Salah yang dikasari oleh Sergio Ramos.
Bagaimanapun bagi Klopp, beliau sekadar mahu turun beraksi dengan cara sendiri dan cuba perbaiki kesilapan sama yang pernah dilakukan di Kyiv sebelum ini.
“Kami pernah menentang Real Madrid dan kalah, jadi reaksi apa lagi yang kamu mahukan? Kami tewas di Kyiv, namun selepas itu kami memenangi kejohanan ini, juga di Madrid (Stadium Wanda Metropolitano) dan sekarang kami akan menentang kelab dari Madrid lagi.
“Apabila berada di final Liga Juara-Juara, Madrid sentiasa terbabit. Sudah pasti kami mahu melakukannya dengan betul, namun isu balas dendam bukanlah menjadi hal utama dan jika kamu berkata tentang semua itu, ia langsung tidak akan membantu.
“Kami perlu melakukan perkara yang betul dan bermain dengan cara sendiri. Ia tidak akan beri makna jika hanya mahu melukakan Real dan pendekatan itu bukanlah cara kami,” kata Klopp.
Apa pun, pendekatan lebih santai yang diambil Klopp pastinya akan mengelak timbulnya situasi persengketaan keterlaluan dan mengurangkan tekanan pemain sekaligus memudahkan pasukan cuba beraksi dengan cara sendiri.
“Kami akan turun ke final dengan cara berbeza. Kami akan bermain dengan cara sendiri dan itulah yang sedang kami lakukan sekarang,” jelasnya. – AGENSI