PARIS – Lebih 3,000 tan produk Kinder ditarik balik dari pasaran kerana kebimbangan pencemaran bakteria salmonella, menyebabkan kerugian berpuluh-puluh juta euro, kata pegawai syarikat berkenaan kepada akhbar harian Perancis, Le Parisien kelmarin.
Ketua Ferrero Perancis, Nicolas Neykov berkata, pencemaran itu berpunca daripada penapis yang digunakan di dalam tong mentega tenusu di sebuah kilang di Arlon, Belgium. Menurutnya, pencemaran itu mungkin berpunca daripada kecuaian manusia atau bahan mentah.
Produk coklat yang dihasilkan di kilang Arlon, tenggara Belgium itu didapati mengandungi salmonella dan menyebabkan 150 kes keracunan di sembilan negara Eropah.
Sebanyak 83 kes keracunan makanan itu berlaku di Perancis dengan kebanyakannya melibatkan kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.
Penutupan kilang itu dan kebimbangan mengenai isu kesihatan memberi tamparan kepada pemiliknya iaitu syarikat manisan gergasi, Ferrero. Skandal tersebut berlaku semasa musim cuti Hari Easter di mana coklat Kinder laris di pasar-pasar raya.
“Krisis ini amat menyedihkan. Ini adalah penarikan semula produk yang terbesar sejak 20 tahun lalu,” kata Neykov.
Bagaimanapun, Ferrero berharap dapat memulakan semula operasi kilang tersebut, dengan 50 peratus pemeriksaan kesihatan dan keselamatan pada masa hadapan akan dilakukan oleh ‘makmal luar’ dan bukan lagi pihaknya.
“Kami memohon untuk membuka semula kilang itu bermula dari 13 Jun ini bagi melancarkan semula pengeluaran seberapa segera yang boleh,” tambahnya. – AFP