SEREMBAN – Sebuah kilang tilam terletak di Jalan Jelebu di sini musnah dalam dalam kejadian kebakaran besar petang tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya mendapat panggilan kejadian pada pukul 6.45 petang dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang tilam telah terbakar 80 peratus.
“Sehingga kini, kerja pemadaman sedang dijalankan kerana api masih lagi marak. Sama ada terdapat mangsa dalam kejadian kebakaran ini masih belum diketahui,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut mendapat bantuan dari Balai Bomba Senawang, Balai Bomba Ampangan dan Balai Bomba Nilai bagi memadamkan kebakaran.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati api masih lagi marak dan pihak bomba masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Kejadian turut menyebabkan jalan dari arah Seremban menuju ke Pantai ditutup buat sementara waktu. – KOSMO! ONLINE