PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku di lima negeri menjelang malam ini.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya hari ini berkata, cuaca buruk itu dijangka berlaku di persisiran pantai negeri Terengganu, Pahang dan di bahagian timur negeri Johor.
Sementara itu, hujan lebat dan ribut petir turut melanda negeri Sarawak dan Sabah yang melibatkan kawasan Pedalaman serta Tawau.
“Amaran angin kencang serta laut bergelora kategori pertama dan juga kedua dikeluarkan melibatkan kawasan perairan Phuket dan juga Selat Melaka Utara.
“Dalam tempoh ini, angin bertiup dengan agak kencang sehingga 60 kilometer sejam serta ketinggian ombak juga boleh mencapai 4.5 meter,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, keadaan terbabit adalah berbahaya untuk bot-bot kecil serta sukan dan rekreasi laut.
Mengulas lanjut, amaran itu berkuat kuasa sehingga 2 Jun ini dan orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati serta mengelak kawasan pantai dan laut dalam tempoh ini. – KOSMO! ONLINE