BRUSSELS – Setiausaha Agung Pertubuhan Perikatan Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg memaklumkan bahawa Finland dan Sweden perlu memenuhi tuntutan negara anggota, Turki sebelum keahlian mereka diluluskan, lapor laman berita RT semalam.
Stoltenberg berkata, tuntutan itu perlu dipenuhi sebelum sidang kemuncak NATO yang dijangka berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini.
Pemimpin NATO itu menerima pendirian Ankara yang menentang kemasukan dua negara berkenaan dan menggesa agar isu tersebut diselesaikan segera.
Turki menentang penyertaan Finland dan Sweden dengan alasan kedua-dua negara itu menyokong sokongan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Gerakan Gulen (FETO) yang dianggap organisasi pengganas oleh Ankara.
Turki menuntut kedua-dua negara itu menggunakan terma pengganas terhadap PKK dan FETO serta mengekstradisi individu yang dikaitkan dengan organisasi tersebut.
“Tiada negara yang mengalami serangan pengganas sebanyak Turki.
“Mereka adalah sekutu penting dan apabila sekutu mempunyai kebimbangan, ia harus dibincangkan dan masalah itu diselesaikan,” tegas Stoltenberg.
Beliau menyatakan, pendirian setiap negara anggota adalah keutamaan NATO.
Stoltenberg turut mengingatkan kes di mana status keahlian calon, Republik Macedonia Utara tertangguh selama lebih 10 tahun kerana undian Greece yang memetik kebimbangan serupa dengan Turki sebelum isu itu akhirnya diselesaikan.
“Sweden dan Finland boleh mengambil bahagian sebagai negara tetamu dalam Sidang Kemuncak NATO yang akan diadakan di Madrid.
“Namun begitu, jika kedua-duanya tidak bertindak balas terhadap tuntutan Turki sebelum 28 Jun ini, sukar untuk memenuhi hasrat mereka untuk menyertai NATO,” kata Stoltenberg.
Stoltenberg juga menekankan bahawa beliau mahu permohonan ini menjadi proses yang pantas dan lancar.
Finland dan Sweden memutuskan untuk memecahkan sejarah berkecuali mereka pada 15 Mei lalu apabila memetik operasi ketenteraan Rusia di Ukraine sebagai faktor utama menyertai NATO. – Agensi