WASHINGTON – Saintis-saintis mencipta aplikasi berteknologi kepintaran buatan (AI) yang berupaya mengesan tahap kesihatan usus secara tepat dengan menganalisis najis manusia, lapor akhbar Daily Star semalam.
Aplikasi Dieta Mobile meminta pengguna memuat naik gambar najis mereka menggunakan telefon bimbit untuk dianalisis menggunakan Carta Najis Bristol iaitu alat yang membantu doktor mendiagnosis kesihatan usus dan masalah kesihatan lain.
Menurut Carta Najis Bristol, najis manusia yang sihat adalah berbentuk seperti sosej dengan mempunyai rekahan pada permukaannya.
Pencipta aplikasi baharu itu baru sahaja menyelesaikan percubaan klinikal pertama mereka dengan hasil yang telus. Perisian AI dilihat lebih baik dalam mengkategorikan najis berbanding manusia.
“Penyakit saluran gastrousus adalah sangat biasa. Penyakit itu, Irritable Bowel Syndrome (IBS) menjejaskan sehingga satu bilion penduduk di seluruh dunia.
“Kadang-kadang pesakit tidak tahu mereka mempunyai masalah sehinggalah mereka menyedari apa yang normal dan tidak normal,” kata penyelidik utama kajian itu, Dr. Mark Pimentel kepada laman berita Motherboard.
Aplikasi Dieta sedang dipromosikan kepada doktor-doktor dengan ciri GPS turut dipasang untuk membantu mereka menjejaki rutin pesakit ke tandas. – Agensi