SUATU ketika dahulu, Angelina Jolie dan bekas suaminya, Brad Pitt menjadi ikon selebriti berjiwa mulia apabila memberi kehidupan baharu kepada seorang kanak-kanak di Kemboja dan menjadikannya sebagai anak angkat.
Ketulusan hati aktres itu bukan hanya membabitkan seorang anak kecil bernama Maddox, malah dia turut mengambil dua lagi anak angkat, Zahara dan Pax iaitu dari Namibia dan Vietnam, selain menjaga tiga anak sendiri.
Hakikatnya, bukan hanya bintang Mr & Mrs Smith itu sahaja memelihara anak angkat asal Asia Tenggara.
Artis lain seperti Meg Ryan, Ewan McGregor, Katherine Heigl serta ramai lagi turut melakukan perkara sama.
Senarai mereka yang memberi kasih sayang serta perlindungan sama seperti ibu bapa kandung itu sudah diketahui ramai tetapi bagaimana pula dengan individu popular berstatus anak angkat berdarah Asia yang membina nama di Hollywood?
Antara figura yang menyerlah adalah bintang asal Vietnam, Lana Condor selain Ratu TikTok, Bella Poarch yang mempunyai kisah tersendiri di sebalik kemilau populariti mereka.
Lana Condor
Pelakon To All the Boys: P.S. I Still Love You, Lana Condor tidak pernah berselindung mengenai latar belakangnya yang berasal dari Vietnam sebelum dibawa keluarga angkat ke Amerika Syarikat.
Wanita berusia 25 tahun yang menyerlah menerusi filem X-Men:Apocalypse (2016) itu diambil sebagai anak angkat oleh pasangan berbangsa Ireland dan Hungary.
Mengakui bertuah mendapat galakan keluarga angkat untuk berani mempertaruhkan bakat di pentas hiburan, selain berlakon Lana juga bergelar penerbit dan penyanyi.
Lebih teruja apabila ibu bapa angkatnya sentiasa mengingatkannya tentang budaya Vietnam yang penuh warna sekali gus membuatkan aktres tersebut menghargai asal usulnya.
Malah dalam satu wawancara, dia mengakui bapanya itu seakan-akan watak ayah dalam To All the Boys: P.S I Still Love You yang mendekatkan anak perempuan dengan susur galur keluarga.
Bella Poarch
Bermula sebagai bintang TikTok sekitar tiga tahun lalu, Bella Poarch yang kini mempunyai hampir 90 juta pengikut beralih pula ke arena nyanyian dengan menghasilkan single sulung berjudul Built a Bitch.
Gemar menayangkan aktiviti harian, gadis berdarah campuran Filipina-Amerika Syarikat ini lebih selesa menyimpan sedikit kisah peribadinya.
Hanya pada 2021 dia mendedahkan statusnya sebagai anak angkat ketika menyertai satu permainan menerusi laman sosial bersama pengikut setia.
Biarpun tidak memberi perincian berkenaan asal kelahiran atau sejak bila diambil sebagai anak angkat, sumber memaklumkan Bella tinggal di Hawaii sejak berusia 13 tahun.
Dilahirkan pada 8 Februari 1997, gadis kecil molek itu hakikatnya pernah berkhidmat sebagai tentera udara tetapi mengambil keputusan bersara awal selepas empat tahun.
Jenna Ushkowitz
Bekas pelakon drama bersiri Glee, Jenna Ushkowitz yang dilahirkan di Seoul, Korea Selatan hanya berusia tiga bulan apabila dibawa ke New York.
Hanya mengenali ibu bapa angkat yang menjaganya dengan baik sejak bayi menyebabkan dia tidak pernah terbuka hati untuk mengenali atau mencari keluarga kandung.
Malah ikatan dan keakraban pelakon berusia 35 tahun itu dengan seluruh anggota keluarga angkat membuatkan dirinya langsung tidak bertanyakan mengenai sejarah silam.
Turut menyerlah dalam pementasan Broadway termasuk The King and I, pemilik nama sebenar Jenna Noella Ushkowitz Stanley itu lebih selesa meneruskan kehidupan tanpa dibebani persoalan keluarganya.
Kevin Kreider
Pelakon siri realiti Netflix, Bling Empire yang menonjolkan kekayaan jutawan Asia di Los Angeles, Kevin Kreider juga antara anak angkat yang membina nama di Hollywood.
Model kecergasan itu membuat pendedahan dilahirkan di Korea Selatan tetapi dibawa keluarga angkatnya yang berkulit putih ke Philadelphia, Pennsylvania ketika usia masih terlalu muda.
Menginjak dewasa, dia mengambil keputusan mencari ibu bapa sebenar sehingga sanggup mengambil ujian DNA yang menunjukkan dirinya mempunyai darah campuran Korea dan Jepun.
Daripada ibu bapa angkat, suatu ketika dulu mereka hanya dimaklumkan Kevin diserahkan datuknya kepada rumah kebajikan sebelum diambil keluarga angkat.
Biarpun tidak berjaya menjejaki kedua-dua orang tuanya yang sebenar, lelaki tersebut masih belum berputus asa dan tetap berharap dapat bertemu mereka suatu hari nanti.