KOTA BHARU – Tiada kes kanak-kanak yang menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negeri ini sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, tiada laporan yang serius berhubung jangkitan HMFD di Kelantan meskipun bilangan jangkitan sudah melebihi 4,000 kes.
Katanya, kebanyakan kanak-kanak berusia enam tahun yang dijangkiti penyakit itu hanya ditempatkan untuk rawatan dalam wad di hospital.
“Meskipun kes HFMD meningkat setiap minggu dengan jumlah sebanyak 1,200 kes terutamanya di Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Puteh, namun keadaannya masih dalam kawalan.
“Setakat ini, sebanyak 17 pusat jagaan kanak-kanak sudah ditutup untuk mengelakkan jangkitan menular,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini semalam.
Zaini berkata, sebanyak 20 pembawakan wabak itu dikenal pasti dan kemungkinan jumlah tersebut akan meningkat jika masyarakat kurang cakna terhadap kebersihan anak-anak. – KOSMO! ONLINE