GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan segera mengambil tindakan mengawal harga tambang perkhidmatan e-hailing dengan menetapkan harga siling yang munasabah untuk kebaikan pengguna dan pemandu.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kenaikan harga tambang satu perkhidmatan e-hailing baru-baru ini amat mengecewakan dan ia membebankan pengguna kerana sesetengah pihak tidak mempunyai pilihan selain menggunakan perkhidmatan itu.
“Kami juga menerima aduan daripada seorang wanita warga emas yang mengatakan bahawa perjalanan yang biasanya berharga RM9, kini berharga RM22 dan ini adalah ketika di luar waktu puncak.
“Sehubungan itu CAP menggesa Kementerian Pengangkutan segera mengambil tindakan untuk mengawal harga tambang e-hailing dengan menetapkan tambang siling yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, terdapat laporan mengenai tambang perkhidmatan e-hailing meningkat sehingga 400 peratus pada waktu puncak.
Ia mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna serta beberapa pihak lain kerana disifatkan tidak masuk akal, sekali gus menggesa campur tangan kerajaan.
Tambahnya, kenaikan tambang akibat sistem harga yang dilaksanakan pengendali perkhidmatan itu tidak masuk akal apabila ia berlaku dengan alasan pemandu kurang.
“Caj keterlaluan ini tidak menarik lebih ramai pemandu dan tidak juga membantu meringankan beban pemandu yang mungkin terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“Ia hanya mengakibatkan pengguna terbeban dengan kenaikan harga yang terlalu mahal dan kami bersetuju bahawa surcaj yang dibenarkan sebanyak 200 peratus adalah terlalu banyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE