PENYANYI dan pelakon, Marsha Milan sedia menyahut cabaran membintangi filem aksi selepas yakin dengan sesi latihan fizikal yang dilakukan secara rutin sejak tahun lalu.
Katanya, sudah tiba masa untuk dia melakukan transisi dalam arena lakonan yang semakin menyerlah sama seperti kerjaya nyanyiannya sejak tampil di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) Mac lalu.
“Saya memang sudah lama memasuki kelas senaman, yoga dan sebagainya sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi saya kurangkan semua aktiviti tersebut selepas Covid-19 semakin memburuk.semakin okey.
“Latihan berat juga saya lakukan ikut kemampuan, tambahan pula sebelum ini saya terbabit dalam penggambaran drama Viu, Seribu Nina yang memerlukan saya melakukan banyak babak pertarungan selaku pemburu pesalah.
“Maksudnya di sini, bukan untuk drama bersiri ini sahaja tetapi saya serius mahu meneroka filem genre aksi selain sanggup membawakan karakter lasak atau babak pertarungan. Seribu Nina adalah penanda arasnya,” katanya.
Anak seni yang memenangi tempat kedua bagi lagu Cinta selain trofi Persembahan Terbaik di AJL36 itu ditemui ketika majlis tayangan Seribu Nina di Dadi Cinema, baru-baru ini.
Dalam naskah yang menyaksikannya membawakan watak Dadi, Marsha mengalami lebam pada beberapa bahagian tubuh berikutan terlampau menghayati babak pertarungan.
Begitupun katanya, kecederaan kecil di set bukan masalah besar apatah lagi sebelum penggambaran, dia bersama teman gandingan iaitu Adriana Adnan yang membawa watak Nina dan Syafiq Kyle (Amar) mendapat latihan intensif.
“Viu dan Infinitus Ventures Sdn. Bhd. menyediakan koreografer berpengalaman membimbing kami sebelum adegan lasak terutama aksi bertarung supaya tidak salah langkah.
“Boleh dikatakan, saya banyak terbabit dalam babak sebegini, sekali gus membuatkan saya meneruskan sesi latihan bersama koreografer sama biarpun tiga sesi wajib sudah tamat.
“Sebagai pelakon, saya tidak kisah mengeluarkan kos untuk memantapkan skil. Kami bertuah sebab produksi menyediakan tenaga pengajar terlatih untuk membantu, namun jika tiada pun saya sedia mencari guru sendiri.
“Latihan secara konsisten serta senaman banyak membantu dalam melancarkan tugasan. Saya percaya dengan usaha berterusan dan komitmen, saya mampu menggalas peranan wanita lasak. Harap dapat buka mata ramai,” katanya lagi.
Berkongsi lagi mengenai perkembangan kerjaya, isteri kepada Mohamed Shaiful Mizam Mohamed Ismail yang juga ahli perniagaan itu memaklumkan kedua-dua bidang dicintainya berjalan seiring.
Biarpun tawaran mengadakan persembahan serta lakonan semakin rancak, Marsha, 37, tetap memastikan tanggungjawab terhadap suami dan rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun lalu dilunaskan seperti biasa.
“Alhamdulillah, sejak AJL36 memang rezeki mencurah-curah. Dari situ saya tahu orang sudah nampak kesungguhan saya. Tetapi disebabkan sekarang saya mengendalikan sendiri urusan kerjaya, kena bagi dua kali ganda komitmen.
“Suami pun faham dengan kesibukan saya. Dia kerap juga berpesan supaya pandai membahagikan masa dan tahu balik selepas habis waktu bekerja. Kiranya saya memang sudah sedia beraksi,” katanya.
Sedikit info, Seribu Nina mula ditayangkan menerusi platform Viu sejak 19 Mei lalu.