KLANG – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini menggunakan modus operandi baharu apabila menjadikan bot ‘barter trade’ sebagai pengangkutan utama mereka.
Taktik terbaharu dikesan hasil penahanan 14 PATI warga Indonesia termasuk tekong berusia 23 hingga 50 tahun kira-kira pukul 5.17 pagi tadi di kedudukan 1.6 batu nautika dari Barat Jeram, di sini.
Sebelum proses penahanan itu, kesemua PATI yang menaiki bot barter trade, KM Sanjaya Group dari Indonesia itu dikejar sejauh kira-kira tiga kilometer oleh bot Maritim Malaysia (APMM) Perkasa 5.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten V. Siva Kumar berkata, radar sistem pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) terdahulu mengesan satu vessel dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2.55 pagi sedang bergerak di perairan Indonesia menuju perairan Sungai Buloh.
Katanya, berikutan kapal Maritim Bagan Datuk yang sedang dalam pelaksanaan Op Ehsan dan Op Benteng Laut telah diatur gerak ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah bot kayu berwarna merah berjalur biru didaftarkan sebagai KM Sanjaya Group dikesan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri dengan memasuki kawasan cetek.
“Susulan itu, bot maritim Perkasa 35 telah digerakkan ke lokasi sebelum bot itu berjaya ditahan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong bersama tiga awak-awak dengan membawa 10 penumpang dan semuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
Siva menambah, siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai cuba keluar dari negara ini menerusi jalan tidak diwartakan.
“Hasil siasatan mereka membayar RM1,300 hingga RM1,700 kepada sindiket PATI.
“Kita juga dapati bot tersebut mempunyai lesen tetapi disalahguna untuk penyeludupan PATI. Kita percaya sindiket kini menggunakan bot jenis itu bagi mengaburi pihak berkuasa berbanding bot pom-pom sebelum ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE