fbpx

Safawi gesa manfaatkan aksi di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI menggesa rakan-rakan sepasukan menunjukkan semangat bersatu padu bagi mengharungi aksi persahabatan menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

SKUAD Harimau Malaya perlu menggunakan kesempatan bermain di hadapan penyokong sendiri dalam usaha melakar keputusan positif meskipun pada masa sama situasi tersebut sebenarnya turut memberi tekanan kepada barisan pemain kebangsaan.

Pemain sensasi negara, Safawi Rasid mahu rakan-rakan sepasukan tidak menganggap tekanan itu sebagai satu bebanan, sebaliknya menjadikan situasi tersebut sebagai satu cabaran untuk tampilkan aksi yang lebih baik.

“Beraksi di laman sendiri sebenarnya lebih memberi tekanan kerana penyokong sudah tentu dahagakan keputusan yang positif terutama selepas sekian lama tiada perlawanan di Stadium­ Nasional Bukit Jalil.

“Namun, saya dan rakan-rakan sepasukan tidak menganggap ia sebagai beban tetapi percaya ia satu cabaran selain menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri di pusingan kelayakan nanti,” kata Safawi sebelum menjalani sesi latihan di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.

Mengulas lanjut, bintang kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini berusia 25 tahun itu bertekad untuk mengulangi aksi cemerlang seperti yang ditunjukkan pada tiga tahun lalu, sekali gus dapat menyumbang sesuatu buat skuad kebangsaan.

“Jika diberi peluang oleh jurulatih, saya berusaha untuk dapatkan prestasi seperti 2019 kerana kita sudah lama tidak beraksi di tempat sendiri untuk aksi antara­bangsa, jadi ini peluang saya dan pasukan melakukan sesuatu buat negara.

“Rakan-rakan sepasukan juga menunjukkan semangat bersatu padu tidak kira pemain muda atau baru menyertai pasukan, pemain senior atau pemain natu­ralisasi. Saya rasa kita berada dalam keadaan terbaik untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2023,” katanya.

Sebagai rekod, skuad kendalian Kim Pan-gon akan mengharungi dua aksi persahabatan menentang Brunei pada malam ini, disusuli berdepan Hong Kong minggu depan.

Selepas ini skuad kebangsaan akan fokus kepada tiga perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan semua aksi berlangsung di Stadium Nasio­nal, Bukit Jalil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI