PARIS – Juara Perancis, Paris Saint-Germain bercadang untuk melepaskan pemain termahal dunia, Neymar dengan laporan turut menyebut hanya Newcastle United menjadi kelab tunggal yang mampu mendapatkan tandatangan bintang dari Brazil itu.
Gergasi Eropah seperti Manchester City, Manchester United, Liverpool, Real Madrid dan Bayern Munich langsung tidak menunjukkan minat, manakala Neymar pula seakan tidak bersedia untuk ke St. James Park.
Hasrat PSG itu dikatakan selepas mengambil kira prestasi semasa Neymar yang ‘kalah’ kepada Kylian Mbappe, namun kontraknya ketika ini masih berbaki tiga tahun lagi sehingga 2025.
Sepanjang musim ini, Neymar hanya memainkan peranan kecil buat PSG, sekadar meledak 13 gol dalam 28 penampilan di semua pertandingan, jauh ditinggalkan Mbappe dengan merekodkan 39 gol dalam 46 penampilan.
Walaupun kecederaan berulang dikatakan punca, majoriti individu dalam kelab Perancis itu meragui tentang gaya hidupnya.
Walaupun Lionel Messi masih gagal menyamai pencapaian yang dilakukan Neymar, bintang Argentina itu masih mendapat tempat dalam PSG kerana mengambil kira etika kerja serta nilai komersial.
“Tiada seorang pun yang menghubungi kami bertanyakan tentang Neymar. Dia masih ada kontrak untuk tempoh beberapa tahun lagi dan itu sahaja yang kami tahu,” menurut sumber rapat dengan Neymar.
Neymar menyertai gergasi Perancis itu pada 2017 dengan nilai £198 juta (RM1.09 bilion) dari Barcelona dan baru-baru ini, PSG baharu saja melanjutkan kontrak Mbappe untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga Jun 2025. – AGENSI