fbpx

Presiden Jameca nyatakan hasrat bantu tarik pelabur Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika bertemu dengan Presiden Jameca, Tsuyoshi Nagano di Tokyo, Jepun hari ini. - FOTO: IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA – Presiden Japan-Malaysia Economic Association (Jameca) hari ini menyatakan hasrat untuk membantu menarik lebih ramai pelabur dari Jepun yang dilihat bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan kembali ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat itu disuarakan oleh Tsuyoshi Nagano yang juga merupakan Pengerusi Tokyo Marine Holdings Inc. dan Setiausaha Agung persatuan Kazuto Sasaki dalam pertemuan di Tokyo, Jepun pagi tadi.

“Dalam pertemuan tersebut, Jameca turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Seminar Dasar Pandang ke Timur pada 1 Ogos kelak,” katanya menerusi satu kemas kini di laman Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, Dasar Pandang ke Timur yang dimulakan 40 tahun lalu menjadikan Malaysia antara destinasi pelaburan yang strategik bagi syarikat terutamanya dari negara matahari terbit, sekali gus menjadi penyumbang kemajuan pelbagai sektor di negara ini.

“Dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun meningkat sebanyak 13.3 peratus dengan RM41.75 bilion (AS$9.96 billion) berbanding RM36.86 (AS$9.07 bilion) dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada tempoh berkenaan, jumlah eksport Malaysia ke Jepun juga meningkat sebanyak 19.6 peratus iaitu RM22.68 bilion (AS$5.41 bilion) berbanding RM18.96 (AS$4.66 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2021,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Perdana Menteri memaklumkan beliau turut berkesempatan meluangkan masa untuk bertemu dengan syarikat-syarikat gergasi di Jepun bagi menarik minat mereka membesarkan perniagaan di Malaysia.

Ujar beliau, Malaysia komited serta amat mengalu-alukan projek berkualiti tinggi dengan elemen kelestarian seiring dengan matlamat negara mengurangkan kesan gas rumah hijau.

“Selain menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nikkei 2022, lawatan kerja rasmi saya di Tokyo, Jepun turut dipenuhi dengan jadual padat bertemu dengan syarikat-syarikat gergasi Jepun bagi menarik minat mereka menanam modal dan membesarkan perniagaan di Malaysia.

“Pagi ini saya menghadiri sesi bersemuka dengan empat syarikat besar di Jepun, antaranya Mitshubishi Power, sebuah syarikat yang berpengalaman dalam industri penjanaan kuasa dan penyimpanan tenaga,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, dalam pertemuan tersebut, Mitshubishi Power telah diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hideshi Kawamoto serta Pengurus Pemasaran dan Jualan Antarabangsa, Nobuhiro Kawai.

“Syarikat ini mereka bentuk dan membina sistem jana kuasa di seluruh dunia. Mereka juga terlibat dengan industri gas asli, stim, aero-turbine, geothermal dan PV Solar.

“Mitsubishi Power dan THB Power pada masa ini sedang bersama-sama membangunkan penyelesaian teknologi terkini bagi loji jana kuasa di Gurun, Kedah,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, syarikat Mitsubishi mempunyai lebih 18,000 orang pekerja di seluruh dunia dan berpangkalan di Yokohama, Jepun.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI