KUALA LUMPUR – Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan dan trafik pada perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, seramai 85,000 penonton dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Brunei di stadium itu.
“Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam serta luar stadium bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Idzam berkata, kawalan keselamatan serta lalu lintas akan dijalankan bermula pukul 6.30 petang ini yang mana pemeriksaan beg dan badan penonton juga akan dilaksanakan.
Jelasnya, penonton tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan memasuki, selain membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium.
“Ia termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam seperti besi serta kayu, senjata, parang, minuman keras, payung dan tongkat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika terdapat penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang.
“Polis juga akan memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium dan yang berada di sekitar lokasi perlawanan.
“Untuk kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke stadium dan mengelak melalui jalan sekitarnya jika tidak menonton perlawanan bola sepak itu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
“Patuhi arahan daripada anggota polis bertugas dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium,” ujarnya.
Selain itu, tindakan saman dan tunda akan dikenakan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas.
Dalam pada itu, polis juga akan mengetatkan kawalan keselamatan pada perlawanan yang akan datang dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 2022 dan Kelayakan AFC Asian China Cup 2023 yang dijadualkan bermula 8 Jun ini. – KOSMO! ONLINE