PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Khalifa Affnan, guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah yang dipilih sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.
Ismail Sabri menerusi satu hantaran di Facebook berkata, seluruh Keluarga Malaysia berbangga dengan kejayaan beliau yang mengharumkan nama Malaysia dalam bidang perguruan di peringkat antarabangsa.
“Saya juga difahamkan bahawa Cikgu Khalifa adalah guru pertama di rantau ini yang dinobatkan anugerah tersebut.
“Pencapaian beliau dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ini perlu dijadikan penyuntik semangat Keluarga Malaysia lain untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam bidang masing-masing,” katanya hari ini.
Terdahulu, Khalifa Affnan telah melakar sejarah negara apabila muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Khalifa Affnan dinobatkan sebagai pemenang selepas berjaya menewaskan 7,000 peserta lain dari 113 negara. – KOSMO! ONLINE