WASHINGTON – Seorang lelaki bersenjata yang membunuh 21 orang dalam serangan kejam di sebuah sekolah rendah di Texas telah mendedahkan rancangannya di media sosial, kata Gabenor Greg Abbot seperti laporan laman berita Wion News kelmarin.
Seramai 19 kanak-kanak dengan kebanyakan mereka berada di gred empat dan berumur 10 tahun serta dua guru, di samping penyerang terbunuh dalam tragedi itu.
Penembak yang berusia 18 tahun dan dikenali sebagai Salvador Ramos, melepaskan berdas-das tembakan menggunakan raifal tempur AR-15 di Sekolah Rendah Robb, bandar Uvalde.
Dalam amaran mengenai serangan itu di media sosial, Ramos berkata, dia akan membedil sebuah sekolah rendah. Penyerang memuat naik tiga hantaran 30 minit sebelum serangan bermula.
“Bukan itu sahaja, Ramos juga menembak neneknya sendiri sebelum pergi ke sekolah berkenaan,” kata jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, Leftenan Christopher Olivarez
Menurutnya, mangsa yang berumur 66 tahun parah dan dirawat di hospital.
“Seramai 17 yang lain turut cedera. Ramos setakat diketahui, tidak mempunyai sejarah jenayah lampau atau masalah mental,” tambahya.
Dalam tragedi pada Selasa lepas, dia memandu sebuah trak pikap ke sekolah berkenaan dan dilaporkan memakai ves taktikal. Remaja itu membawa raifal tempur ketika melancarkan serangannya sekitar pukul 11.30 pagi (waktu tempatan).
Menurut beberapa laporan, semua mangsa dibunuh di dalam kelas yang sama. Polis bertindak balas dengan sejumlah anggota pengawal sempadan dan pasukan keselamatan dikerah mengepung sekolah tersebut.
Mereka turut menjadi sasaran tembakan sebelum penyerang ditembak mati oleh seorang anggota pengawal sempadan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Joe Biden mengecam kumpulan pelobi senjata api berhubung serangan berdarah itu.
“Dengan nama Tuhan, bilakah kita akan bangkit menentang pelobi senjata api,” katanya.
Sementara itu, Ramos dikatakan membeli raifal tempur AR secara sah selepas hari jadinya yang ke-18 atau beberapa hari sebelum serangan berlaku.
“Dia membeli dua raifal AR dari sebuah kedai senjata api berlesen, sehari selepas hari jadinya iaitu pada 17 Mei lalu dan pada 20 Mei,” demikian menurut kenyataan Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan dalam satu kenyataan.
Di Texas, seseorang individu perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk membeli raifal, manakala negeri berkenaan tidak mewajibkan lesen untuk membawa senjata api di tempat awam. – Agensi