SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat menjual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM1.33 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mazne Che Mohd. Amin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Herlina Sulaiman.
Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa telah memindahkan RM1.33 juta daripada akaun milik syarikat NMOQ Trade Sdn. Bhd. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain.
Selain itu, pindahan wang turut dilakukan ke dalam akaun tertuduh dan tiga individu lain berusia 33 hingga 44 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di The Trillium Lake Fields, Sungai Besi dekat sini di antara 9 September hingga 17 Oktober 2020.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama subseksyen 87 (1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Selain itu, pendakwaan turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama kes penipuan yang didakwa di Mahkamah Sesyen lain di sini.
Peguam Luqman Mazlan mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akur terhadap syarat-syarat jaminan lain.
Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri ke balai polis setiap bulan.
Herlina turut membenarkan permohonan pemindahan keseluruhan kes itu ke mahkamah lain dengan sebutan semula ditetapkan pada 13 Jun depan. -KOSMO!ONLINE