PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan telah mengesan dan menyiasat beberapa kegiatan tonto bagi melumpuhkan tugas penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya mengesan aktiviti tonto yang mengekori dan mengawasi kenderaan JPJ bagi memaklumkan lokasi penguatkuasaan agensi terbabit.
“Tindakan tonto yang memerhati dan mengekori setiap pergerakan anggota JPJ memberi cabaran kepada penguat kuasa untuk menjalankan tugas.
“Ancaman tonto ini juga turut menimbulkan persepsi negatif dan menyukarkan anggota JPJ untuk mengambil tindakan terhadap kereta yang melanggar undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tegasnya, sebanyak lima laporan polis diterima berhubung aktiviti terbabit sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.
Jelas beliau, dua kertas siasatan telah dibuka dan berjaya dituduh dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tambahnya, polis mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sindiket tonto dengan melindungi dan memberikan maklumat kepada kenderaan yang melakukan kesalahan.
“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah akta yang sama.
“Polis sentiasa komited dalam membantu JPJ dan penguat kuasa yang lain sekiranya wujud ancaman semasa melakukan tugas penguatkuasaan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE