PITTSBURGH, PENNSYLVANIA – Sebuah kereta api dilaporkan tergelincir dari landasan dan dihanyutkan ke dalam sungai di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Star semalam.
Gambar menunjukkan beberapa gerabak tergantung di atas jambatan dengan yang lain tenggelam ke dalam sungai di bawahnya.
Gambar-gambar itu dirakam di Little Deer Creek dekat bandar Pittsburgh, Pennsylvania.
Kereta api itu dipercayai milik syarikat Norfolk Southern. Masih belum diketahui sama ada terdapat kemalangan jiwa dengan perkhidmatan kecemasan kekal di tempat kejadian.
Saksi tempat kejadian mendakwa bahawa mereka melihat cecair yang belum dikenal pasti jenisnya bocor dari salah satu gerabak yang rosak.
Seorang wartawan tempatan yang berada di lokasi kejadian melaporkan, kereta api itu mengangkut produk petroleum.
Pasukan bomba serta polis hadir ke tempat kejadian dan mereka dipercayai telah membawa beberapa orang ke hospital berikutan kejadian yang menakutkan itu.
Wartawan stesen televisyen WTAE-TV Pittsburgh, Tori Yorgey berkata, tiga orang telah dikejarkan ke hospital selepas 17 gerabak kereta api itu tergelincir dari landasan.
Kereta api itu dilaporkan telah melanggar kenderaan pembinaan yang sedang melintasi landasan berhampiran loji rawatan.
Pegawai di tempat kejadian mengesahkan bahawa tiga orang yang dimasukkan ke hospital itu terdiri daripada pemandu lori dan dua lagi yang berada di dalam enjin kereta api ketika kejadian. – Agensi