PARIS – Jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal terus menyusun langkah dalam usaha menjuarai saingan Terbuka Perancis musim ini selepas mara ke pusingan ketiga dengan menewaskan Corentin Moutet dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-1, 6-4.
Keputusan tersebut menyaksikan Nadal kini merekodkan kemenangan ke-300 dalam karier bagi kejohanan bertaraf Grand Slam, tetapi masih jauh dengan rekod yang dicatatkan oleh seteru tradisi, Roger Federer (369) dan Novak Djokovic (324).
Kata Nadal, kejayaan meraih kemenangan straight- set itu sememangnya memberi kelegaan kepadanya untuk terus memberikan tumpuan pada aksi pusingan ketiga menentang wakil Belanda, Botic van de Zandschulp nanti.
“Saya sangat gembira apabila dapat merekodkan kemenangan dalam tempoh yang singkat sekali gus dapat memastikan tahap fizikalnya kekal cergas kerana perlu menumpukan satu lagi aksi sukar pada Jumaat ini,” kata pemain berusia 35 tahun itu.
Sementara itu, bintang muda Sepanyol, Carlos Alcaraz terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum meloloskan diri ke pusingan ketiga selepas menewaskan rakan senegara, Albert Ramos-Vinolas dengan pertarungan lima set 6-1, 6-7, 5-7, 7-6, 6-4.
“Ini adalah perlawanan yang cukup memenatkan kerana kami saling mengenali antara satu sama lain dan dia tahu kelemahan saya, begitu juga sebaliknya. Namun, saya kekal fokus di atas gelanggang,” katanya.
Alcaraz yang merupakan pemain ranking No.6 dunia dianggap sebagai salah seorang pilihan utama untuk menjuarai trofi Grand Slam pertamanya di Roland Garros susulan kejayaan memenangi kejohanan bertafar Masters Terbuka Madrid awal bulan ini. – AGENSI