fbpx

Mayat lelaki ditemui dalam guni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengusung mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam guni di pengkalan ikan bilis di Kampung Sungai Batu di sini tengah hari tadi.

SUNGAI PETANI – Mayat seorang lelaki dalam keadaan kaki dan tangan diikat di dalam guni ditemui terapung berhampiran pengkalan ikan bilis di Kampung Sungai Batu di sini pagi tadi.

Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui oleh sekumpulan nelayan tempatan sewaktu mereka hendak turun memancing di Sungai Batu pada pukul 9.30 pagi selepas terhidu bau busuk daripada guni yang tersangkut pada pancang kayu penambat perahu di situ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, pasukannya yang tiba di lokasi kejadian telah membuka guni itu dan mendapati mayat seorang lelaki yang telah mengelupas kulitnya berada dalam keadaan kaki dan tangan diikat.

“Mangsa masih memakai baju-T, tetapi tidak berseluar itu dipercayai dihanyutkan arus sebelum tersangkut di situ,” katanya di sini hari ini.

Menurut Suresh, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa tanpa dokumen pengenalan diri itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke sungai itu.

“Berdasarkan keadaan mayat yang telah mengelupas, kita percaya mangsa telah terendam di dalam air lebih 48 jam. Pihak kami juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan sebab kematian mangsa hanya akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kes tembak mati seorang lelaki bersebelahan keretanya di Jalan Kampung Baru di sini Rabu lalu, Suresh berkata, siasatan daripada pelbagai sudut masih diteruskan pihaknya.

“Selain mengambil keterangan isteri, rakan dan beberapa orang saksi lain, kita sedang melakukan soal siasat terhadap seorang suspek yang ditahan kelmarin untuk mengetahui penglibatannya dalam kes tembak itu.

“Tiada tangkapan terbaharu dibuat sehingga kini dan siasatan masih diteruskan untuk mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI