LONDON – Pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) dilihat kembali mendominasi pentas Eropah seperti mana ketika mereka melakukannya pada era 70-an dan 80-an lalu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), sebanyak £414 juta (RM2.29 bilion) wang kemenangan telah diagihkan kepada tujuh pasukan dari England untuk tahun lalu sahaja.
Menduduki carta teratas penerima hadiah wang kemenangan adalah Chelsea £105 juta (RM581 juta) diekori Manchester City £104 juta (RM575 juta), Liverpool £77 juta (RM426 juta) dan terakhir Manchester United £70 juta (RM387 juta).
Kelab-kelab dari Sepanyol pula berada di kedudukan kedua berdasarkan kutipan hadiah wang kemenangan apabila meraih £351 juta (RM1.94 bilion) kemudian diikuti oleh kelab dari Jerman dan Itali serta kelab dari Ligue 1 Perancis.
Sejak lima musim lalu, pasukan dari England bersaing dalam tiga daripada lima aksi final pada Liga Juara-Juara (UCL) yang lalu dan memenanginya sebanyak dua kali, malah terdapat dua aksi final sepanjang tempoh tersebut melibatkan pertembungan sesama sendiri kelab dari EPL.
Selain saingan UCL, beberapa kelab England seperti Arsenal, Tottenham Hotspur, United dan Leicester City juga turut berjaya meraih wang tunai yang agak lumayan ketika mereka beraksi dalam saingan Liga Europa.
Musim ini menyaksikan Liverpool dianggarkan sudah meraih pendapatan sebanyak £102 juta (RM564 juta) hasil penampilan mereka dalam UCL.
Mereka bakal meraih sebanyak £106 (RM586 juta) lagi sekiranya berjaya merangkul kejuaraan menewaskan Real Madrid Ahad ini sekali gus layak beraksi dalam saingan Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia untuk meraih tambahan £11 juta (RM60 juta) wang hadiah tambahan.
– Agensi